Monday, May 25, 2009

JEMPUTAN: Kayuhan Bumi Biru sempena Pesta Sungai Melaka pada 7hb Jun 2009 jam 7:30 pagi

KBTBB dengan sukacitanya ingin menjemput rakan-rakan basikal tua yang berminat untuk menyertai satu acara kayuhan bertemakan "Bumi Biru" pada Ahad, 7hb Jun 2009 pada jam 7:30 pagi bermula di Batu Berendam, Melaka. Bersempena dengan cuti sekolah dan Pesta Sungai Melaka 2009, KBTBB telah merancang untuk mengadakan kayuhan menyelusuri Sungai Melaka melalui laluan pejalan kaki di tebing sungai tersebut bermula di sekitar Kg. Morten dan akan berakhir di Bangunan Merah.

Menariknya kayuhan anjuran KBTBB kali ini dilakukan di waktu pagi bermula jam 7:30 pagi. Kayuhan pada waktu pagi akan memberikan lebih keselesaan dan kesegaran kepada semua peserta yang berkayuh. Sebagai tanda simbolik dan sokongan cintakan "Sungai" peserta yang ingin turut serta digalakkan memakai baju T berwarna biru. Pastinya kayuhan kali ini akan memberikan satu lagi "kelainan" pengalaman berkayuh dengan mesej "Bumi Biru" untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memulihara dan menjaga "sungai" untuk kepentingan bersama. Maklumat dan info selanjutnya akan diumumkan kelak - Admin KBTBB
...

Thursday, May 21, 2009

Saksikan Kemunculan KBTBB di Majalah 3 pada Sabtu, 06.06.2009 - 9:00 mlm

Ada ucapan buat semua peminat basikal tua di Malaysia terutamanya untuk ahli-ahli KBTBB daripada Majalah 3. Jangan Luper baca yer.
Berita terkini dari KBTBB - Melaka, kira-kira pukul 3:30 petang semalam KBTBB telah berjaya mengadakan satu pengambaran bersama pengacara, krew dan penerbit Majalah 3 mengenai basikal tua. Alhamdulillah seperti yang dijanjikan Nurul Syuhada dan penerbit Majalah 3 Mazlin Nordin telah sampai tepat jam 3 di Batu Berendam. Pengambaran Majalah 3 kali ini dijangkakan akan memberikan sedikit kelainan darisegi persembahannya dengan visual dan laporan pengacara di lokasi sebenar. Pada hari tersebut, ahli-ahli KBTBB yang telah bersedia sejak dari tengahari telah menyambut kedatangan mereka di bengkel KBTBB dengan suasana gembira dan ceria.

Pengambaran tersebut telah berjalan dengan lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada ahli-ahli KBTBB yang begitu komited dan mesra menjadikan pengambaran tersebut lebih menarik dengan aksi-aksi spontan. Satu lagi kenangan dan sejarah manis buat KBTBB. Menurut cerita dari Batu Berendam malam tadi, "Diorang (otai-otai) tidur malam tadi tak basuh tangan dan menggantung tangan mereka kerana bersalam dengan Nurul Syuhada :-)" kata Jebat. Paling penting nantikan kemunculan KBTBB di kaca televisyen anda pada hari Sabtu, 06-06-2009 jam 9.00 malam. - Admin KBTBB
Seperti yang dijanjikan untuk pengunjung setia blog KBTBB sila klik di SINI untuk melihat foto-foto semasa pengambaran bersama Majalah 3. Saksikan.

Sunday, May 3, 2009

Catatan perjalanan KBTBB untuk acara "Jom Ronda Melaka" pada 2hb Mei 2009

Sila Klik pautan untuk melihat Foto Album "Jom Ronda Melaka"


Salam Sejahtera dan Selamat Hari Pekerja buat semua sahabat tidak kira di mana anda berada.

Bersempena cuti panjang bersempena Hari Pekerja yang lalu KBTBB telah mengadakan satu acara kayuhan "Jom Ronda Melaka" pada hari Sabtu, 2hb Mei 2009 bermula dari Kg. Batu Berendam sehingga ke Kg. Morten. Bertemakan warna HIJAU sebagai simbolik cintakan alam sekitar dan anti-pemanasan global, ahli-ahli KBTBB telah memakai baju berwarna hijau sebagai tanda sokongan. Walau pun tidak ramai yang dapat menyertainya tetapi acara ini tetap meriah dan berlansung dengan jayanya. Berikut adalah catatan KBTBB sepanjang 24km perjalanan tersebut.

Check Point (CP)

CP1-Masjid Kampung Hulu, CP2-Bangunan Merah dan Jam Besar, CP3-Menara Taming Sari, C4-Muzium Perzim , C5-A Famosa dan Banda Hilir , C6-Kg. Morten

3:30 petang - Ahli-ahli KBTBB berkumpul di Warung de Kampung, Batu Berendam dan mendengar taklimat dari Ketua Projek.

3:35 petang - KBTBB bergerak menuju ke Check Point 1 (CP1) iaitu Masjid Kampung Hulu yang terletak berhampiran kawasan Jonker Street. Perjalanan menuju ke CP1 melalui Jalan Batu Berendam dan Jalan Peringgit. Sampai di persimpangan Hotel Ramada KBTBB menyelusuri Jalan Munsyi menuju ke Jonker Street. Jalan sedikit sesak kerana cuti panjang.

3:50 petang - Tiba di CP1 (Masjid Kampung Hulu ) dan KBTBB berehat sebentar sambil berfoto dihadapan Masjid tersebut dan meneruskan perjalanan menuju CP2 iaitu Bangunan Merah dan Jam Besar. KBTBB menyelusuri Jonker Walk dengan perlahan kerana laluan begitu sesak dengan kenderaan.

4:10 petang - Tiba di hadapan Bangunan Merah dan Jam Besar dan berehat sambil minum cendol mamak di tepi sungai Melaka. Di CP2 suasana sesak dengan pelancong asing dan seperti biasa basikal-basikal ahli KBTBB menjadi tumpuan lensa kamera. Sambil minum cendol KBTBB disajikan dengan persembahan dondang sayang dan demo permainan gasing oleh KekWa yang kebetulan membuat persembahan di situ.

4:50 petang - KBTBB sempat bergambar Persimpangan Padang Nyiru berhampiran Public Bank sebelum Bangunan Merah yang menjadi tempat burung-burung merpati berkumpul di sekeliling air pancut macam kat Europ. Selesai bergambar KBTBB terus menuju ke CP3 iaitu Menara Taming Sari.

5:00 petang - Tiba di perkarangan Menara Taming Sari (CP3). Kerana terlalu ramai orang dan pelancong di sana KBTBB terpaksa meletakkan basikal di pinggir CP3. Di CP3 KBTBB membuat pemeriksaan pada basikal masing-masing dan seperti biasa pomen KBTBB Sdr. Along sentiasa membantu membaiki kerosakkan dan masalah basikal dengan cepat dan cargas. Setelah selesai KBTBB menuju ke CP4 iaitu Muzium Perzim yang terletak berhampiran A Famosa.

5: 20 petang - Tiba di Muzium Perzim (CP4) dan sempat bergambar di hadapan keretapi. Tanpa melengahkan masa KBTBB terus menuju ke CP5 iaitu A Famosa dan Banda Hilir iaitu tempat tumpuan utama pelancong di Melaka.

5:30 petang - KBTBB telah tiba di A Famosa dan Banda Hilir (CP5) dan berlegar sekeliling kawasan mencari "port" yang sesuai untuk berehat dan bergambar. KBTBB juga berkesempatan menghabiskan masa di Muzium Memorial Kemerdekaan yang terletak berhampiran A Famosa. Selesai bergambar dan berehat KBTBB terus menuju ke CP6 iaitu Kg. Morten yang menjadi CP terakhir acara "Jom Ronda Melaka". Perjalanan ke CP6 melalui Jalan Bunga Raya, Jalan Kg Jawa, Jalan Munsyi, Jalan Hang Tuah dan singgah sebentar di Up-Town Melaka untuk melihat suasana pinggir sungai Melaka.

6:00 petang - Berehat sebentar di restoran mamak di pinggir Jalan Hang Tuah pekena teh tarik sambil berbual dan bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan basikal tua di Malaysia. Selesai minum teh tarik KBTBB menuju ke Kg. Morten (CP6) dengan menyelusuri jalan yang bersebelahan sungai Melaka.

6:15 petang - Tiba CP terakhir iaitu di rumah warisan/muzium milik Hj. Ibrahim di Kg. Morten. Ahli-ahli KBTBB menghabiskan masa bertanyakan soalan-soalan mengenai koleksi antik dan hiasan serta rekabentuk rumah beliau. Hj. Ibrahim berhasrat untuk memiliki semula basikal BSA yang pernah dikayuh sewaktu zaman mudanya. Menurut beliau basikal BSA miliknya telah di"punah"kan oleh anaknya setelah beliau tidak menggunakannya lagi. KBTBB mengabadikan pengalaman dan kenangan dengan bergambar di hadapan rumah beliau.

6:45 petang - KBTBB beredar dan berkayuh pulang dari Kg. Morten menuju Warung de Kampung Batu Berendam untuk acara seterusnya iaitu jamuan makan malam dan DONDANG SAYANG - Live!.

7:25 malam - Tiba di Warung de Kampung Batu Berendam dan ahli-ahli KBTBB berehat sambil membersihkan badan dan solat Maghrib.

8:30 malam - Acara jamuan makan malam bermula dengan persembahan dondang sayang yang diketuai dan dipimpin oleh Pakcik Baharin yang pernah menjuari pentandingan Dondang Sayang peringkat nasional. Syahdunya muzik klasik dendangannya.

9:30 malam - Dondang Sayang dan joget lambak. Chewahhh...cak pung...cak punggg...

12:00 malam - Bersurai dan balik rumah sambil senyum sampai tertidur :)

KBTBB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli yang terlibat terutamanya AJK KBTBB, Tuan Warung de Kampung, sponsor-sponsor dan tidak lupa kepada Sdr. Ikhwan yang sentiasa menyokong setiap aktiviti yang dianjurkan KBTBB. Bagi yang tidak dapat menyertai, Insyaallah KBTBB akan sentiasa meneruskan acara-acara seumpama ini di masa hadapan. Khabarnya sudah ada orang sudi sponsor "Dondang Sayang" dan jamuan makan untuk acara akan datang. Terima Kasih daun keladi..kalau boleh sponsor lagi - Admin KBTBB.

Untuk menyaksikan foto-foto menarik sila klik "Jom Ronda Melaka" - Foto-foto milik Sdr. Ikhwan dari blog BM. Hakcipta Terpelihara sebarang penerbitan semula harus mendapatkan kebenaran beliau.